Thursday, April 15, 2010

Buat Sahabatku terCinta.....

Sahabatku..

Bermula hari ini binalah sebuah
kehidupan baru. Jadilah manusia
berhati mulia dan tegakkanlah sinar
keislaman dalam dirimu, semoga nur
Ilahi akan membening seluruh
perjalanan hidupmu.

Duhai sahabat Muslimahku..

Keremajaanmu menyegarkan pandangan dan
melimpahkan nyaman pada malam. Dengan
keremajaanmu, kau bisa sahaja menakluk
dunia dalam lalai dan leka tanpa
kesedaran. Ingatlah, kau bukan
dilahirkan sebagai penggoda yang
melekakan dunia. Kesegaran dan
kejelitaanmu adalah fana belaka.
Kelembutan yang menghiasi gerak
langkah dan lentuk tubuhmu bakal
menyaksikan kaucepat terdedah kepada
bahaya dan bahana maksiat.

Peliharalah keindahan yang kaumiliki
kerana ALLAH mengujimu dengan
menerbitkan kau pada bentuk yang
teramat indah, halus dan sempurna.
Berhati-hatilah kerana sesungguhnya
kaum Adam akan memandangmu dengan
pandangan yang luar biasa.

Cahaya keriangan di wajahmu adalah
kilauan senjata yang menawan. Madu
yang menitiskan sarinya meresapkan
manisnya dari bibir langsung ke hati
adalah suara lembut sang gadis.
Elokkanlah nada suaramu dan
perlahankan gema bahasamu. Berhati-
hatilah menggunakan lidahmu, jangan
sampai bibirmu menuturkan bait-bait
tajam yang akan menyakiti hati orang
lain. Fikirlah dengan akalmu sebelum
bersuara dan pandanglah teman bicara.
Tertib dan sopanmu bagai hembusan
angin yang menyamankan, yang bakal
ditanggapi menyamai keindahan yang
kaumiliki setanding dengan ketulusan
peribadimu.

Sahabat Muslimahku..

Jagalah matamu kerana pandangan mata
akan mengalir ke hati dan terbiaslah
sesuatu dari panahan syaitan durjana.
Jangan sesekali kau memandang mata
lelaki dengan sejenak renungan. Jangan
biarkan mereka mentafsirkan makna.
Jadikanlah ghadul basar sebagai hiasan
matamu. Rebahkan pandangan matamu,
renunglah setiap inci bumi, nescaya
kau berjaya menghindari dosa yang cuba
merapatimu.

Ukhti yang dikasihi..

Sesekali, mendongaklah ke langit dan
lihatlah kerdipan bintang-bintang,
nescaya kau kan temui berjuta keagungan
ciptaan Rabbul ‘Alamiin. Betapa hidup
ini berjalan di atas makna hikmah dan
terselindung daunan pengertian. Hari-
hari yang dilalui sebenarnya
menyembunyikan banyak hakikat dan
makrifat. Sedarlah, hidupmu ini
hanyalah secebis dari erti kehidupan.
Selamilah dasar hatimu dan bisiklah
pada diri; alangkah kosongnya jiwa,
alangkah hinanya roh tanpa hiasan apa-
apa. Salutilah tubuhmu dengan Iman,
kerana ia sangat manis pada pandangan
jua perhiasan. Bersihkanlah hatimu,
kemanisan Iman sukar dikecapi tanpa
janji Tuhan.

Jadilah seorang Muslimah yang gemar
merenung kejadian yang berlaku dan
memerhati hikmah dengan mata hati.
Muslimah sejati adalah mereka yang
selalu berhikmah dalam berkata-kata
dan meletakkan perasaan rendah diri
sebagai asas mencari ketaqwaan. Zuhud
dalam pencarian dunia dengan
meletakkan tasawwuf ke akhirat sebagai
pedoman serta melupakan sifat cintakan
dunia yang berlebihan.

Serikandi Muslimah sejati…

Alangkah baiknya di saat-saat kau
dilanda tribulasi, kau tega mengutip
akar-akar kemelaratan dan teguh
mengukir senyum buat pengubat
kerungsingan. Tatakala kau dalam
dilema permasalahan yang meruncing
serta kau berasa putus harap dengan
dunia, maka sebutlah dan zikirlah
berkali-kali kehadrat Ilahi, moga-moga
kaubakal bertemu kedamaian.

Sucikan wajahmu dengan air wudhu dan
basahkan matamu dengan air mata
keinsafan. Tundukkanlah sepenuh hatimu
jua dahimu ke tikar sejadah beserta
lafaz dan doa kauhembuskan seikhlas
jiwa, semurni sanubari memohon
keampunan. Renunglah, resapkan
kekaguman dan kuatkan keyakinan bahawa
hayatmu setiap detik di bawah naungan
ALLAH S.W.T., kecintaan Tuhan melimpah
dan melaut di segenap penjuru ‘alam,
walaupun pada yang lupa erti kehidupan.

Dan, roh ketenangan akan mendakap
dirimu hingga kau terasa tiada tabir
yang menabiri setiap kali pertemuan
kau dan DIA. Ketaqwaan hendaklah
dipupuk agar matlamat dan cita-cita
yang kaubawa akan tercapai suatu masa
kelak dengan izin-NYA, insyaALLAH..

Akhirul kalam, ingatlah walau setinggi
manapun kedudukanmu di mata
masyarakat, jangan sesekali menyombong
diri. Sesungguhnya wanita itu lemah.
Dan dijadikan ar rijal sebagai
pelindung buatmu. Carilah lelaki yang
baik budinya dan teguh Imannya. Inilah
yang bakal mengukuhkan akar
kebahagiaan dan tunjang kecintaan
kepada Ilahi, insyaALLAH.”

2 comments:

  1. Ni ko yang karang ke or ko copy past dr sajak orang lain?..
    yeah2...dah leh komen blog ko

    ReplyDelete
  2. hahaha....aku lom pndai mengarang..saje nak wat tatapan umum...

    ReplyDelete