Sebuah KISAH menyayat Hati....
Semoga anda dapat pengajaran dari pengolahan cerita ini...
Rina sedang menyiapkan makan malam ketika aku tiba di rumah.
Aku memegang tangannya dan berkata, “ Abang ada sesuatu nak beritahu”. Dia
membisu dan dapat ku lihat keresahan di matanya.
Tiba-tiba lidahku kelu. Tapi aku nekad untuk memberitahunya.
“Abang rasa kita sudah tidak serasi lagi. Kita cerai?”.Akhirnya, terlepas jua
beban di dada. Tapi ku lihat Rina tenang dan dia hanya bertanya dengan lembut.
“Mengapa bang? Apa salah saya?”. Giliran aku membisu dan ini menimbulkan
kemarahan Rina. Air matanya mula menitis. Aku tahu dia mahukan jawapan tapi aku
tiada jawapannya. Yang ku tahu, hatiku kini milik Tasya. Cintaku bukan pada
Rina lagi.
Aku katakanya padanya yang dia boleh ambil rumah dan kereta
apabila kami bercerai. Rina merenung wajahku.Pandangannya kosong. 10 tahun kami
berkahwin tetapi malam ni kami umpama orang asing. Aku kasihankannya tetapi
untuk berpatah balik tidak sesekali. Aku cintakan Tasya. Air matanya yang
sekian tadi bertakung mula mengalir deras. Sudah ku jangka. Malah aku lega
melihatnya menangis. Niatku untuk bercerai semakin jelas dan nyata.
Keesokannya, Rina mengatakan dia tidak mahu apa-apa dari
penceraian kami melainkan tempoh 1 bulan. Dia meminta bahawa dalam satu bulan
itu kami teruskan rutin harian kami seperti biasa sebagai suami isteri.
Alasannya, anak kami bakal menduduki peperiksaan dalam masa sebulan lagi dan
dia tidak mahu anak kami terganggu dengan penceraian kami. Aku bersetuju.
Kemudian Rina menyuruhku mengingat kembali saat aku
mendukungnya ke bilik kami pada malam pertama kami. Dia meminta untuk tempoh
sebulan ini untuk aku mendukungnya keluar dari bilik tidur kami ke pintu depan
setiap pagi. Pada ku memang tidak masuk akal. Tetapi aku tetap bersetuju.
Aku memberitahu Tasya permintaan Rina. Dia ketawa dan hanya
mengatakan ini semua kerja gila. Tidak kira apa muslihat Rina, dia tetap akan
diceraikan. Aku hanya diam membatu.
Semenjak aku menimbulkan isu penceraian, kemesraan kami
terus hilang. Hari pertama aku mendukungnya keluar, aku merasa kekok. Rina
juga. Anak kami bertepuk tangan di belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah
dukung ibu ya”. Kata-katanya amat menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang dan
dengan lembut dia memberitahuku agar jangan sampai anak kami tahu yang kami
akan bercerai. Aku mengangguk setuju. Aku menurunkannya di muka pintu. Dan kami
memandu berasingan ke tempat kerja.
Masuk hari kedua, hilang sedikit rasa kekok. Rina bersandar
di dadaku. Dapat ku cium harumannya. Dapat ku lihat kedutan halus di wajahnya
Aku sedar dia tidak muda lagi seperti dahulu. Ternyata perkahwinan kami memberi
kesan kepadanya. Selama satu minit, aku tertanya-tanya apa yang telah aku
lakukan.
Masuk hari keempat, aku dapat rasakan keintiman kami telah
kembali. Tanpa sedar hatiku berkocak mengatakan mungkinkan cintaku masih
padanya. Hari kelima dan keenam, aku menyedari keintiman kami mula bercambah
kembali. Aku tidak memberitahu Tasya tentang perkara ini. Masuk hari-hari
seterusnya, rutin ini jadi lebih mudah malah aku nantikannya setiap pagi.
Suatu pagi, Rina sedang memilih baju untuk dipakai. Katanya
tiada yang sesuai. Dia mengeluh. “Semua baju saya besar”. Baru ku sedar, dia
semakin kurus. Mungkin itu jugalah sebabnya aku semakin mudah mendukungnya.
Tiba-tiba terlintas di fikiranku. Mungkin Rina sedang menyembunyikan keperitan
hatinya lantaran sikapku selama ini. Tanda sedar aku merangkul tubuhnya dan
membelai rambutnya.
Kemudian, muncul anak kami di muka pintu sambil berkata “
Ayah, cepat lah dukung ibu keluar”. Padanya, melihat aku mendukung keluar
isteriku setiap pagi adalah rutin hariannya. Rina memanggil anak kami lalu
memeluknya erat. Ku palingkan mukaku kerana takut aku sndiri mengubah fikiran
di saat ini. Aku kemudian mendukungnya dan tangannya melingkari leherku. Tanpa
sedar, ku eratkan rangkulanku. Dapat ku rasakan badannya sangat ringan.
Hari ini genap sebulan. Di muka pintu aku menggenggam
tangannya dan berkata “ Abang tidak sedar yang selama ini kita kurang
keintiman”. Aku terus melangkah ke kereta dan terus memandu ke pejabat.
Sesampainya di pejabat, aku terus ke bilik Tasya. Sebaik pintu terbuka, aku
masuk dan aku beritahu dia “Maaf Tasya. Saya tidak akan bercerai dengan Rina.
Sekarang saya sedar saya masih cintakan dia”.
Muka Tasya berubah merah. Tapi ku kata jua,“Maaf Tasya. Saya
dan Rina tidak akan bercerai. Perkahwinan kami membosankan mungkin kerana saya
tidak menghargai apa yang kami ada dan kongsi selama ini, bukan kerana kami
tidak lagi menyintai satu sama lain”. Tasya menjerit sekuat hati dan aku terus
melangkah keluar.
Aku kembali ke kereta dan niat hatiku mahu pulang ke rumah
dan memohon maaf dari Rina, isteriku. Aku singgah di sebuah kedai bunga untuk
membeli sejambak tulip merah kesukaan Rina. Aku capai sekeping kad dan ku
tulis, “Abang akan dukung Rina setiap pagi hingga maut memisahkan kita”.
Setibanya di rumah, aku terus berlari ke bilik kami dan
mendapati Rina terbaring tenang di atas katil. Ku belai wajahnya sambil
memanggil namanya tapi tiada sahutan. Rina kaku. Hatiku berdetak keras.
Kini Rina pergi untuk selamanya. Perpisahan yang ku pinta
ternyata ditunaikan. Sekian lama Rina berperang dengan KANSER RAHIM tetapi aku
begitu sibuk dengan Tasya untuk menyedarinya. Rina tahu bahawa dia akan mati
tidak lama lagi dan dia mahu menyelamatkan aku daripada reaksi negatif dari
anak kami, sekiranya kami tetap bercerai. Rina mahu sekurang-kurangnya di mata
anak kami, aku adalah suami yang penyayang.
***Perkara-perkara mudah dan ringkas yang anda lakukan
bersama adalah yang sebenarnya penting dalam perkahwinan. Bukan banglo, kereta,
harta, dan wang di bank. Semua itu hanya wujudkan persekitaran yang kondusif
untuk kebahagiaan tetapi tidak dapat memberi kebahagiaan pada kita.
Jadi carilah masa untuk menjadi sahabat kepada isteri/suami
anda dan lakukan perkara-perkara kecil untuk satu sama lain yang membina
keintiman. Binalah kemanisan rumah tangga anda. Hargailah setiap pengorbanan
pasangan anda***
coretan hari-hariku..(^_^)
No comments:
Post a Comment